Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
" PENGHAYATAN TERHADAP KONSEP HALALAN TAYYIBAN "
( 4 Julai 2008 / 1 Rejab 1429H )
Pengambilan makanan Halalan Tayyiban atau halal yang baik bukan sahaja melahirkan masyarakat yang cergas bahkan akan menjana ekonomi umat. Menurut beberapa penganalisis ekonomi dunia, nilai pasaran makanan halal dunia pada masa ini dianggarkan bernilai USD560 bilion setahun yang melibatkan RM1.6 bilion pengguna umat Islam di seluruh dunia. Berdasarkan pasaran luas makanan halal di dunia, maka negara bukan Islam atau syarikat bukan Islam telah berlumba-lumba mengambil kesempatan bagi mengeluarkan makanan dan produk-produk halal yang lain.
Saudara-saudara sekalian;
Persoalan besar timbul ialah apakah maksud sebenar Halalan Tayyiban? Berdasarkan pemerhatian, sebahagian umat Islam hanya memahami makanan halal adalah makanan yang bersumber daripada binatang halal halal disembelih dan tidak mengandungi lemak babi. Ini adalah pemahaman yang silap.
Berdasarkan pemahaman yang silap ini, maka kita lihat orang Islam kelihatan menjual makanan yang halal tetapi premis atau kedai kotor, pinggan mangkuk, tempat memproses makanan, stor dan sebagainya tidak bersih dan menjijikkan. Kadangkala penjual dan pekerja juga tidak menjaga kebersihan diri mereka. Keadaan ini bercanggah dengan ajaran Islam dan Prinsip Halalan Tayyiban.
Hakikatnya prinsip makanan Halalan Tayyiban bermaksud makanan itu halal lagi bersih dan selamat untuk dimakan yang mengambil kira status sumber makanan, peralatan, cara memproses, peyimpanan, pembungkusan dan kawasan persekitaran bebas daripada najis serta mematuhi standard amalan kebersihan yang ditetapkan.
Kita sering mendengar orang ramai dan pelajar sekolah yang memakan makanan halal di kedai makan dan di kantin sekolah mengalami keracunan makanan. Keadaan ini berpunca daripada sikap penjual atau pengguna sendiri yang mengabaikan aspek kebersihan makanan.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 173-172:
Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman ! makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadah kepada-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani “ .
Ayat tersebut menjelaskan bahawa kita perlu memastikan bahawa makanan dan minuman yang diambil adalah daripada sumber yang halal kerana makanan yang halal akan memberi kesihatan jasmani dan rohani.
Apa yang nyata prinsip makanan Halalan Tayyiban yang dianjurkan oleh Islam adalah sesuai diamalkan oleh manusia sejagat. Bagi memenuhi tuntutan Islam ini, maka umat Islam berkewajipan mengusahakan pengeluaran makanan halal dunia. Walau bagaimanapun bilangan umat Islam yang melibatkan diri dalam industri halal ini masih lagi kurang.
Berdasarkan statistik permohonan sijil halal JAKIM didapati 95 peratus permohonan adalah terdiri daripada syarikat-syarikat yang bukan Islam. Oleh itu, mimbar Jumaat hari ini menyeru agar umat Islam melibatkan diri secara bersungguh-sungguh dalam industri makanan dan produk halal untuk menjaga status Halalan Tayyiban demi memenuhi standard piawaian yang ditetapkan dalam ajaran Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mimbar yang mulia ini ingin menarik perhatian jemaah, mengapa Islam mewajibkan kita mendapatkan sumber rezeki dan makanan yang halal? Dalam hal ini Rasulullah SAW telah memberi amaran menerusi hadith baginda:
Daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Wahai Kaab bin ‘Ujrah Sesungguhnya seseorang tidak akan masuk syurga jika terdapat daging yang tumbuh di dalam tubuh badannya daripada sumber yang haram. (HR Ad-Darimi)
Perlu diingat bahawa seseorang yang mengamalkan gaya hidup dengan mengambil berat aspek rezeki dan pengambilan makanan halal lagi baik adalah di antara tanda-tanda orang yang beriman.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Langkah Pertama : Adalah dengan memastikan bahawa makanan tersebut terdapat logo halal yang diiktiraf oleh badan-badan yang berautoriti seperti logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan serta Majlis Agama Islam Negeri.
Langkah Kedua : Kita perlu berwaspada dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan tentang amalan kebersihan dan keselamatan makanan seperti yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Langkah Ketiga : Memastikan rezeki dan makanan adalah bebas daripada unsur syubhah.
Maksudnya : " Wahai sekalian manusia ! makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. " (AL-Baqarah : 168)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan