BLOG TERATAK ABI HUSNA - diupayakan sebagai salah satu wadah bagi mengabadikan kenangan dalam keluarga. Mencintai keluarga adalah sebahagian langkah besar untuk membentuk, menggarap dan menterjemahkan konsep 'Baiti Jannati'....
28 Mei 2009
khutbah 'Takut Yang Sudah Tercabut Itu'
May 15th, 2009
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Sifat takut, adalah salah satu daripada cabang naluri atau fitrah manusia. Allah Subhanahu wa Ta’aala mencampakkan rasa takut ke dalam diri manusia, salah satu tujuannya adalah untuk menjadi alat yang menyelamatkan manusia daripada kemudaratan.
Takut kepada panas, menyelamatkan manusia daripada tercedera memegang api.
Takut kepada penyakit dan kesakitan, menjadikan manusia berusaha lebih untuk menjaga kesihatan.
Takut kepada rompakan dan kehilangan, manusia akan menjaga aspek-aspek sekuriti di kediaman masing-masing.
Semua perasaan takut itu adalah untuk membantu manusia menjaga kualiti hidupnya kerana untuk selamat, manusia perlu bertindak lebih pantas daripada proses berfikir. Takut menghasilkan tindakan spontan yang diperlukan.
Begitu jugalah dengan sifat-sifat kontras yang lain di dalam diri manusia. Sifat marah, cemburu, dendam, letih dan mengantuk, biar pun lazimnya dianggap negatif, hakikatnya ia mempunyai peranan yang tersendiri dalam menghasilkan manfaat dan mencegah mudarat dalam kehidupan manusia.
7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);
8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -
9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
10. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
[Al-Syams 91: 7-10]
Sifat takut ini boleh berubah daripada baik kepada buruk, apabila ia tidak diletakkan kena pada tempatnya. Apabila perasaan takut itu melebihi keperluannya, maka manusia yang selamat kerana memanfaatkan rasa takut yang betul, berubah menjadi manusia yang penakut hingga merosakkan diri.
Cicak mungkin disangkanya buaya.
Cacing mungkin disangkanya ular.
Perkara kecil menjadi besar… tatkala takut hilang batasan dan menguasai diri melebihi keperluan.
Justeru Allah Subhanahu wa Taala mengingatkan orang-orang yang beriman, agar belajar menguruskan ketakutan. Mereka juga diberi peringatan supaya menyiapkan diri, bahawa ada keadaannya, orang-orang yang beriman ini akan diuji oleh Allah Subhanahu wa Taala dengan beberapa cabaran kehidupan termasuk ujian berupa ketakutan.
Firman Allah Subhanahu wa Taala di dalam al-Quran:
“Dan pastinya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan hasil buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar” [Al-Baqarah 2: 155]
Di dalam ayat ini, Allah Azza wa Jalla menerangkan kepada kaum yang beriman bahawa keimanan mereka kepada Allah harus meningkat dari satu tahap ke satu tahap, dan peningkatan itu berlaku melalui kejayaan mereka menangani dan menguruskan beberapa ujian kehidupan. Antara yang disebut di dalam ayat itu:
1. Ketakutan
2. Kelaparan
3. Kekurangan harta
4. Ancaman nyawa
5. Kehilangan sumber tanaman atau sumber pendapatan
Inilah bentuk ujian yang akan melazimi kehidupan orang-orang yang beriman. Kesemuanya datang dengan maksud yang jelas, iaitu sebagai desakan daripada Allah untuk menzahirkan siapakah di kalangan kita yang akan bertindak secara yang terbaik di dalam hidup ini, tatkala berdepan dengan ujian-ujian berkenaan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Dialah yang telah menjadikan kematian dan kehidupan kamu sebagai ujian untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat). [al-Mulk : 2]
Antara ujian yang tersenarai itu, Allah Subhanahu wa Taala meletakkan ujian ketakutan sebagai ujian pertama, kerana ketakutan itu boleh bersarang dan menguji manusia sebelum ujian yang sebenarnya terjadi. Seorang yang mahu mengamalkan Islam, mungkin membayangkan kesusahan hidupnya apabila pilihannya tidak disenangi rakan, susah mahu naik pangkat, susah nak dapat tender, dan pelbagai lagi kerisauan dan ketakutan yang muncul di dalam diri, sebelum ia sebenar-benarnya berlaku. Bahkan mungkin ia tidak akan berlaku.
Justeru, seorang mukmin diperingatkan oleh Allah supaya membina kekuatan dan keberanian sebagai sebahagian daripada pembinaan iman.
Allah memujuk orang-orang yang beriman agar membuang rasa takut itu dengan beberapa cara. Misalnya, di awal ayat itu, Allah menggunakan kalimah ???? yang memberikan makna sedikit. Maka sesungguhnya sebesar mana sekali pun ujian yang mendatang, ia hanya secebis dan sedikit daripada ketakutan yang sebenar.
Masakan tidak.
Jika kita takut dengan cakap-cakap orang apabila kita memilih untuk menutup aurat, sebesar manakah ketakutan itu jika dibandingkan dengan ketakutan Akhirat tatkala kealpaan kita daripada mematuhi Allah bakal menerima akibatnya yang Maha Dahsyat. Jika kita takut kepada sedikit kehilangan harta benda semata-mata kerana menolak rezeki yang haram, apalah sangat ketakutan itu berbanding ketakutan ancaman Allah untuk membakar setiap inci daging tubuh yang tumbuh dari sumber yang haram?
Sesungguhnya ketakutan di dunia, hanya ketakutan yang sedikit.
Maka janganlah sekali-kali perasaan takut menyebabkan kita hilang keupayaan dan kekuatan untuk mentaati Allah di akhir zaman yang penuh fitnah dan mehnah ini. Ia hanya mengundang kehinaan diri, apatah lagi jika ketakutan itu ditambah lagi pula dengan rasa cinta yang mendalam kepada dunia dan kehidupan.
Di dalam sepotong hadith yang panjang, berlaku sahabat bersama Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya,”apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w menjawab, “bahkan kamu pada hari itu ramaisekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan” Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab,” CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT MATI” [Riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh al-Albani]
Sesungguhnya jangan kita hairan terhadap nasib umat Islam yang ditekan dan dihina pada hari ini. Allah mencabut rasa gerun dari jiwa musuh terhadap kita, disebabkan oleh penyakit hina yang membelenggu diri. Itulah penyakit WAHAN.
Cintakan dunia, dan membenci kematian.
Lupakah kita kepada seruan tentera Saad bin Abi Waqqas semasa masuk ke daerah tanah besar China?
“Kami adalah kaum yang mencintai kematian seperti kamu cintakan kehidupan”
Kata-kata itu bukan ancaman bunuh, tetapi suatu penegasan terhadap prinsip dan keseriusan umat Islam terhadap visi dan misi hidupnya. Kata-kata itulah yang menjadikan Islam, diterima dan berkembang luas di China, lama sebelum Islam menjengah Kepulauan Melayu, suatu ketika dahulu.
Buangkanlah rasa takut yang membelenggu kita daripada berperanan dalam kehidupan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
TIDAK TAKUT
Hari ini, kita berdepan dengan suatu fenomena yang luar biasa.
Ketika orang yang baik-baik semakin takut-takut untuk mempertahankan prinsip dan keimanannya kepada Allah, manusia yang lupakan Allah pula semakin hilang rasa takut dalam kehidupan.
Manusia menjadi terlalu berani, hingga mereka sanggup melakukan kerja-kerja yang merbahaya, tanpa sebarang manfaat atau sebab yang layak untuk berkorban hingga mati.
Anak-anak semakin liar dan berani, hingga tiada sekelumit rasa takut di jiwa mereka kepada ibu bapa dan guru. Golongan yang digelar sebagai Mat Rempit tidak takut dengan ancaman kematian, atau kecacatan diri yang serius andai mereka terlibat di dalam kemalangan jalan raya, malah ada sesetengah program yang secara sengaja, mencabar ketakutan manusia untuk fitrah itu dilumpuh, dibunuh atau dimatikan sepenuhnya. Rancangan seperti Fear Factor, adalah rancangan yang secara khusus menyediakan ruang untuk manusia bertanding membuang rasa takut di dalam diri mereka.
Apabila anak-anak tidak takut kepada ibu bapa dan guru, apabila Mat Rempit menganggap hukuman undang-undang, pecah kepala berderai otak, dan lumpuh separuh badan hingga menjadi beban kepada ibu bapa yang sudah puas membasuh berak kencingnya semasa kecil, semua itu sekadar gurauan dan permainan, seluruh masyarakat menanggung sakitnya.
Seluruh anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik dan taraf pendidikan, kesemuanya menanggung kesusahan dan ancaman, dek hilangnya rasa takut daripada naluri manusia seperti ini.
Lebih membimbangkan, terhapusnya rasa takut itu bukan sahaja berlaku di kalangan anak-anak remaja kita dan kelompok Mat Rempit, namun musibah terbesarnya ialah apabila perasaan takut itu tercabut dari jiwa para penjenayah!
Biar pun hukuman gantung diperkenalkan sebagai hukuman mandatori ke atas kesalahan pengedaran dadah, jenayah itu tidak pernah merosot. Pelbagai undang-undang diperkenalkan untuk mengekang jenayah dan mengugut pelakunya, tiada sebarang peraturan dan undang-undang yang diperkenalkan itu, mampu menimbulkan rasa takut dan gerun di jiwa penjenayah dan masyarakat keseluruhannya.
Lihat sahaja di negara seperti Amerika Syarikat, hukuman penjara yang diperkenalkan, ada di antaranya yang tidak masuk akal. Hukuman penjara mencecah 500 tahun dikenakan ke atas James Downs, seorang bekas pekerja gereja New Destiny Christian di Laveen atas 28 kesalahan jenayah seks di luar tabii dengan kanak-kanak di bawah umur.
Apakah hukuman sedemikian rupa berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara itu? Jauh sekali.
Malah di sesetengah negeri di Amerika Syarikat, ada hukuman bunuh yang sangat kejam diperkenalkan. Hukuman mati di kerusi elektrik, mungkin merupakan salah satu bentuk hukuman mati yang paling mengerikan malah menyeksa penjenayah pada kadar yang tidak mampu dibayangkan oleh akal manusia. Hukuman itu diperkenalkan di Amerika Syarikat seawal tahun 1890 malah turut pernah digunakan di Filipina. Namun hukuman yang amat kejam ini, tidak sama sekali menyumbang kepada merosotnya kadar jenayah di kedua-dua negara berkenaan.
Apabila penjenayah sudah tiada rasa takut, ia menjadi bencana yang menimpa seluruh anggota masyarakat. Tidur malam tidak lena, berjalan siang resah menyerang, setiap detik dan saat adalah peluang untuk jenayah berlaku dan kita mungkin mangsa yang berikutnya.
Sesungguhnya,
Hanya ada satu sahaja undang-undang yang memilik unsur ketakutan yang tidak ada pada hukuman sekejam kerusi elektrik atau penjara 500 tahun. Undang-undang ini tidak kejam tetapi ia amat mengkucar kacirkan fikiran manusia. Belum lagi ia dilaksanakan, penyataan untuk melaksanakannya sudah cukup menimbulkan pelbagai huru hara dalam kehidupan manusia.
Orang tidur bangkit terjaga.
Orang berjaga mengigau di siang masa.
Orang cerdik menjadi bodoh.
Orang bodoh turut tergopoh-gopoh.
Itulah hukuman Allah. Hukuman yang ditentukan oleh Allah, Tuhan yang memiliki dan menguasai hati manusia. Tuhan yang membuka hati kepada rasa takut, dan Tuhan yang menutup hati hingga tercabut kegerunan dan ketakutan. Hukuman itu adalah resepi tunggal, untuk manusia bisa ditundukkan kembali kepada undang-undang dan kehidupan berperaturan.
Hukum Allah, tatkala ia dibawa ke meja perbincangan, sudah cukup untuk menimbulkan rasa bimbang, rungsing dan takut yang membingungkan. Kenyataan-kenyataan seperti makan sup tangan, atau jalan tidak berturap kerana batu habis terpakai untuk merejam penzina dan macam-macam lagi kenyataan lucu yang menyakitkan iman pada yang mendengarnya, timbul di sana sini.
Chaotic atau kehuru-haraan itu bukanlah terjadi secara kebetulan. Ia berbalik kepada unsur-unsur khusus yang terdapat di dalam falsafah undang-undang Qisas, Hudud dan Takzir itu.
Misalnya Allah Subhanahu wa Ta’aala berfirman:
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Maaidah 5: 38]
Takut itu adalah perasaan hati.
Hati itu milik Allah.
Allah jua yang mencampakkan rasa gerun di hati manusia yang dikehendaki-Nya. Dan kehendak Allah itu hanya dapat diraih apabila formula dan acuan (sibghah) Allah diguna pakai. Sesungguhnya unsur nakaalan minaLlaah itulah yang tidak wujud di dalam hukum hakam yang lain. Biar sekejam kerusi elektrik, biar sejelek gantung sampai mati, biar sengeri tembak di khalayak ramai, ia tidak mampu menghasilkan nilai cegahan kerana cegahan itu adalah urusan Allah.
Cegahan inilah yang bisa mencegah manusia dari menjamah jenayah. Ketakutan yang dicampakkan Allah ke dalam hati manusia, bertujuan untuk mencegah dirinya, dan manusia lain daripada kerosakan yang membinasakan.
Ia bukan sekadar ketakutan yang mencegah pencuri telur ayam, tetapi juga para bangsawan yang seleranya sebesar perbendaharaan negara. Rasa gerun untuk mengekang manusia berpangkat tinggi dari bermaharajalela menyelewengkan harta rakyat.
Cegahan inilah yang bisa menghentikan kegiatan menjual beli undang-undang. Sebuah negara di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, tidak pernah musnah kerana miskin harta dan pembangunan. Tetapi keseluruhan hidup manusia menyaksikan negara segagah empayar Rom dan Parsi, Utara dan Selatan, Timur dan Barat musnah apabila manusia tidak lagi mampu dicegah dari kejahatan. Apatah lagi kezaliman bangsawan dipejamkan mata dan kesalahan si miskin diheret sepuasnya.
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana tatkala si bangsawan mencuri, mereka membiarkannya. Sedangkan apabila si lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman hudud ke atas. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya akan kupotong tangannya” [Hadith Muttafaq 'alayh]
Inilah pakej berupa ancaman dari Allah dan Rasul buat sekalian pencuri dan penjenayah, baik dia itu rakyat biasa yang mencuri basikal di rumah jiran, mahu pun bangsawan yang merompak perbendaharaan negara untuk kepentingan hawa nafsu mereka.
Apa sahaja ancaman lain, tidak bisa menimbulkan rasa gerun dan takut di hati penjenayah. Walaupun manusia sudah begitu moden, ketakutan mereka masih ortodoks… menggeruni apa yang digeruni oleh manusia zaman berzaman.
Hanya hukuman Allah yang mampu menggerunkan HATI… tempat jatuh pandangan Allah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
19 Mei 2009
Citra ISLAM di Nusantara
Peredaran sejarah seperti telah membawa kembali unsur-unsur imperialisme budaya baru dalam konteks sezaman. Kebudayaan asing terutama budaya hedonisme Amerika dan Barat diterima tanpa ukuran moral atau akhlak dalam perspektif budaya dan agama sendiri lagi. Maraknya gejala sosial dan budaya hedonisme di kalangan generasi muda terutama dikalangan anak-anak remaja dan penyakit rakus serta gila kuasa di kalangan orang dewasa dan para pemimpin, adalah bukti jelas daripada tindak tanduk penyimpangan daripada pola yang diterima turun temurun ini, suatu akibat daripada kecuaian dan kelalaian yang membawa kepada terhakisnya pendidikan agama dan nilai budaya.
Cabaran pada abad ke 21, mahu tidak mahu umat serumpun Melayu sama ada yang beragama Islam atau beragama lain akan menghadapi suatu zaman kemajuan yang luar biasa khususnya pengaruh teknologi moden. Pencapaian manusia dalam ilmu sains ini menjadikan kita berhadapan dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, sehingga sesuatu yang tidak dapat kita bayangkan. Manusia kadangkala terjebak oleh akal dengan pengaruh pemikiran dan falsafah atau berasaskan kepercayaan ciptaan manusia sendiri. Manusia mula menunjukkan tanda-tanda penolakan terhadap agama wahyu. Pengaruh globalisasi, pascamodenisme dan liberalisasi menuntut gerakan agama dan para ulamanya perlu bersama melibatkan diri menghuraikan kekusutan konflik peradaban corak baharu yang mengasak kesejahteraan dan kebahagian manusia. Ada suatu macam penolakan tentang the grand narrative yang ditanzilkan dari langit itu. Namun begitu dengan kepakaran dan pencapaian manusia sehebat itu pun, manusia belum dapat atau tidak berjaya sepenuhnya memberikan ketenangan kepada manusia sendiri. Mereka mengadu takut, luntur kebahagiaan, resah gelisah, berduka cita dan sakit jiwa. Di Eropah dan Amerika atau dikalangan penganut agama falsafah ciptaan manusia itu, ada penyakit rohani yang sukar diubati lagi. Mereka sendiri oleh kurangnya penghayatan dan gagalnya menghayati panduan sebenar terus tidak berdaya mengubatinya hatta dengan menggunakan unsur-unsur kemajuan dan kecanggihan teknologi baru yang dicipta itu.
Kini kerana pengaruh asing yang tidak terkawal dan salah tafsiran dalam kesepaduan ilmu antara tuntutan duniawi dan ukhrawi, maka perlumbaan memperoleh ilmu dibataskan kepada kemakmuran duniawi semata-mata. Matlamat keilmuan demi keimanan, ketakwaan, keikhlasan, warak dan tawadhuk dengan keunggulan akhlak mulia hilang daripada sahsiah para ilmuwan sendiri. Krisis aqidah dan lunturnya teladan Islam daripada para ilmuwan tadi mengakibatkan timbulnya aneka masalah keruntuhan akhlak umat Islam zaman moden ini. Jalan penyelesaian gagal dicari dan umat kekal terbelenggu dalam kemelut yang tidak menentu. Tujuan keseimbangan kehidupan antara duniawi dan ukhrawi, urusan agama dan dunia, pemerintah dan rakyat, manusia dan alam tabii, umat dan negara, hak dan kekuatan, benda dan roh, wahyu Ilahi dan kreativiti terlihat kehilangan konsep ‘al-hikmah’ dan ‘al-mizan’. Manusia dibelenggui belitan syaitan dengan kegilaan kepada kekayaan harta benda dan ketinggian darjat serta terpinggirnya upaya memperjuangkan ‘ketinggian kalimatullah’ dalam pendidikan manusia.
Dikalangan umat Islam global juga mula dibimbangi bahawa pengaruh-pengaruh sedemikian akan mula menyelinap masuk mempengaruhi kehidupan kebudayaan sejahtera yang mereka miliki. Ancaman pengaruh itu tersebar melalui media elektronik seperti telivisyen, radio, CD Rom dan internet atau banyak juga melalui filem Hollywood dan Bollywood. Negara-negara Islam dijebak oleh agenda perangkap persaingan agama atau perancangan strategik global yang dipasang oleh Yahudi dan Nasrani. Sesuatu perlu dilakukan bertujuan membetulkan kembali konflik budaya dan isu akidah umat masa kini. Umpamanya sudah ada tendensi dikalangan belia Islam bukan sahaja di rantau Melayu bahkan di seluruh dunia Islam mengambil bahagian dan merayakan Hari Memperingati Kekasih (Valentine’s Day) pada 14 Februari setiap tahun, sesuatu yang mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian. Perayaan zaman pertengahan di Perancis dan England itu mengaitkan tarikh memperingati peristiwa Saint Valentine, seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II, kerana mengahwinkan seorang askar secara rahsia yang ditegah oleh undang-undang Rom ketika itu, sebagai hari mencari pasangan atau jodoh, anggapan ‘hari burung-burung mencari pasangan’. Hal ini ternyata bercanggah dengan lunas-lunas Islam kerana Islam menganjurkan kasih sayang sepanjang masa dengan keutamaan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan sesama manusia.
Musuh-musuh Islam di mana-mana telah memulakan agenda dan menggunakan segala macam alasan bagi mensahihkan sesuatu tindakan termasuk pencerobohan, penaklukan dan peperangan. Peperangan dan pencerobohan di Afghanistan dan Iraq atau isu-isu kemanusiaan di Kosova, Bosnia-Herzevogina dan Chechen sukar sekali untuk dirasionalisasikan kebenaran dan keadilan tindakan oleh sesuatu adikuasa asing yang terlibat. Dunia amat memerlukan suatu risalah yang boleh mengubah keadaan ini. Kelihatan benar bahawa tiada risalah lain lagi kecuali Islam. Risalah ini dimiliki oleh umat Islam. Suatu risalah yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat dan tidak menegah kehidupan dengan segala kesejahteraannya di dunia dengan pola hubungan manusia dengan Tuhan (hablunminallah) dan hubungan yang saling membantu sesama manusia (hablunminannas).
Di tangan umat Islam adalah Al-Quran, sebuah kitab yang satu-satunya dipelihara Allah sesudah Taurat, Zabur dan Injil itu terbatal, sesuai dengan Islam itu sebagai agama samawi dan kitabnya ditanzilkan. Isu keganasan yang dicanangkan seawal abad ke 21 dengan mencorengkan arang fitnah ke muka Islam sengaja diada-adakan yang perlu diberikan penjelasan secara ilmu dan hakikat kebenaran. Kitab itu menjadi bahtera kebahagiaan untuk umat Islam dan umat manusia sejagat. Umat Islam pula sebagai suatu umat pilihan tidak harus terperangkap oleh kelemahan diri, terpesong oleh arah pandu musuh dan semata-mata mempersoalkan perkara remeh temeh secara berlarutan tanpa mengambil kira masalah-masalah kehidupan dengan tidak meletakkan fiqh mengikut keutamaan (fiqh al-awlawiyat) dengan segala tindakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith.
Hakikat umat Islam itu sebagai umat yang satu perlu sentiasa kekal disemadikan di lubuk hati. Kekuatan rohani dan risalah Islamiah yang dimiliki umat Islam adalah anugerah yang teristimewa berbanding dengan mana-mana umat sebelumnya. Umat Melayu Islam seharusnya berada sama di barisan hadapan membawa risalah perjuangan (jihad) sejagat dengan mendukung kehidupan berpakat, bermuafakat, bermesyuarah atau mengamalkan tradisi budaya Melayu yang menekankan kerjasama dan gotong-royong itu dalam membangunkan umat sesuai dengan tuntutan Islam. Umat Islam bukan lahir untuk hidup bersendirian dan meletakkan kepentingan diri sebagai agenda utama, tetapi bertindak membawa kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat. Risalahnya menuntut perseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah, menghimpunkan antara iman, ilmu dan amal, mengimbangi dunia dan akhirat dan menyemarakkan kepentingan individu dengan kepentingan umum.
Sesungguhnya kita ingin melihat suatu kesegaran baru kebangkitan semula umat Islam di Dunia Melayu melalui dorongan keikhlasan para ulama di serata wilayah dan kota-kota penting dalam gerakan intelektualisme bangsa, ikut terlibat membangunkan kebudayaan tinggi dan mengisi segala sumber kekuatan peradaban Melayu. Umat perlu sedar dan insaf serta kembali kepada kesedaran aqidah yang lebih mendasari berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Krisis umat Islam hari ini adalah krisis aqidah sehingga tidak tahu lagi membezakan halal haram atau buruk baik. Tradisi ilmu semakin menyempit dan gejala hiburan melampaui batas agama dan fitrah kemanusiaan sedang berleluasa. Lambat laun Dunia Melayu akan berwajahkan barat dan mengamalkan kebiasaan-kebiasaan budaya Barat. Saluran media elektronik rantau Melayu, terutama televisyen memaparkan segala keburukan Barat sebagai kebaikan untuk timur. Sesuatu tindakan mesti dilakukan segera agar umat Islam serantau tidak terjebak lebih meluas dan mendalam. Kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial bangsa, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina tidak boleh dibiarkan tanpa perimbangan atau selitan keagamaan dan nilai budaya. Sistem politik sebagai teras kepemimpinan yang menentukan dasar-dasar sesebuah negara tadi tidak terlepas bebas dari keperluan kepada panduan Islam.
PENUTUP
Sesungguhnya citra Islam adalah citra ilmu, citra dakwah dan jihad, juga citra hidup bersih dan benar. Semoga kita pada hari ini mampu sedikit sebanyak memulihkan citra ini, atau setidak-tidaknya menyingkap kembali citra yang pernah dimainkan para ulama terdahulu dalam usahanya membimbing umat ke jalan hidup yang benar, disamping sekaligus membentuk budaya hidup dan pola berfikir masyarakatnya. Kita ingin melihat satu suasana ilmu dan budaya berfikir kembali cemerlang dan mendapat tempatnya yang layak dalam era globalisasi, liberalisasi dan pascamodenisme sekarang ini, di samping tentunya, tanpa mengabaikan kemudahan kebendaan dan kesenangan hidup demi hasanah dunia dan hasanah akhirat. Manusia akan menghadapi krisis tamadun atau pertembungan peradaban, seandainya tidak berpegang kepada keagamaan kerana ternyata gelombang baru peradaban manusia dalam konsep pascamodenismenya itu terang-terang menolak kehidupan yang berdasarkan kepada agama wahyu, apa lagi Islam.
Iman Senjata Utama dan Taqwa Bekalan Utama
RISALATUL-IKHWAN,
Bil. 29, Jumaat 29 Ramadhan 1417, (7 feb. 1997)
Dari pena Mustafa Masyhur
IMAN SENJATA UTAMA DAN TAQWA BEKALAN UTAMA
Iman dan Pertolongan Allah
Sesungguhnya keadaan umat Islam menimbulkan rasa belas dan takut .. kelemahan, perselisihan, penguasaan musuh dan tipu daya mereka terhadap Islam dan Muslimin …. semua faktor-faktor ini mungkin menimbulkan sedikit rasa putus asa atau kecewa di dalam jiwa, tetapi keimanan kepada Allah dan merasa mulia dengan agamanya, jihad pada jalannya serta cinta kepada mati syahid tetap menimbulkan harapan yang besar terhadap pertolongan Allah. Adapun Allah adalah maha suci, maha kuat lagi berkuasa. Dialah penolong bagi hamba-hambanya yang beriman dan penunduk orang orang yang bongkak daripada musuh-musuhNya. Adapun kita di dalam bulan Ramadhan ini yang merupakan bulan kemenangan di mana peperangan Badar adalah sebaik-baik saksi terhadap pertolongan Allah bagi hamba-hambaNya yang beriman walaupun mereka sedikit. Allah berfirman
“Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah berserta dengan orang-orang yang sabar” (al-Baqarah: 249)
dan lagi
“(yang sebenarnya) bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar” (al Anfal: 17)
Benar, sesungguhnya musuh zionis bermegah-megah dan mengiklankan permusuhannya serta niatnya yang keji terhadap orang-orang Palestin bahkan terhadap Muslimin seluruhnya, dan apa yang disembunyikan di sebalik hati-hati mereka adalah lebih besar. Sesungguhnya ia telah merampas satu cebisan yang begitu mulia daripada tanah air Islam kerana padanyalah al Masjidil Aqsa, qiblat yang pertama dan “Haram” yang ketiga. Berita-berita tentang penyambungan terowong di bawah masjidil Aqsa menunjukkan niat mereka untuk mendedahkan kepada kemusnahan. Dia juga berterusan untuk menyahudikan al Quds dan mengeluarkan orang-orang Palestin daripada timur al Quds. Mereka juga menuduh Siria membantu Hizbullah di Lubnan yang mempertahankan bumi Lubnan yang terjajah. Begitulah mereka bertindak seolah-olah merekalah tuan punya tanah dan tuan-tuan yang sebenar merupakan perampas. Kita juga mendapati Amerika dan beberapa negara barat menyokongnya dalam pencerobohannya dan kesombongannya. Begitu juga kita melihat perangkap ke atas Muslimin pada berbagai penjuru, dan kelemahan bumi Islam serta tiadanya bantuan terhadap saudara-saudaranya sesama Islam yang terdedah kepada perangkap dan penderitaan ini. Tapi disebalik gambaran yang menyedihkan ini kita mestilah memulakan dengan diri kita untuk menjadi mukmin yang sebenar serta melazimkan diri kita dengan sifat-sifat mukmin, mendokong hak-hak ukhuwwah di antara kita dan memohon pertolongan daripada Allah niscaya Allah akan menolong kita ke atas semua musuh-musuh. Adapun masa depan adalah untuk Islam.
“Dan perangilah mereka supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah” (al Anfal: 39).
dan benarlah Allah berfirman:
“Dialah yang mengutuskan RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik benci” (as-Saff: 9)
ke atas Muslimin seluruhnya perlulah membetulkantawakal kepada Allah kerana Allahlah sebaik-baik pelindung dan pemberi pertolongan. Dan hendaklah mereka menjadi seperti mereka yang telah disifatkan oleh Allah dalam firmannya:
“(Yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah lepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keridhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar” (Ali Imran: 173-174).
Fenomena Penyembahan Syaitan (berita di Mesir: pent)
Sesungguhnya fenomena ini perlu kita selidik dan analisa maka kita berpendapat sesungguhnya Allah swt memberi amaran pada kita terhadap tipu daya syaitan dan perangkapnya seperti firman Allah:
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh (mu), kerana syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala” (Faathir: 7)
dan firmannya lagi: “Bukankah Aku telah memerintahkan padamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. dan hendaklah kamu menyembahKu. Inilah jalan yang lurus” (Yasin: 60 61)
Oleh itu ia menjadi satu kewajiban terhadap Muslimin untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran serta tolong menolong di dalam perkara kebaikan dan taqwa dan jangan tolong menolong di dalam perkara dosa dan permusuhan. dan firmannya lagi: “Inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu ikuti. Janganlah kamu ikut jalan-jalan (cara hidup) yang lain, kelak kamu akan bercerai berai dari JalanNya. Inilah yang dipesankan oleh Tuhanmu kepada kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa” (al-An`am: 153).
Sepatutnyalah kita mengambil tahu sebab-sebab munculnya fenomena yang buruk ini agar kita dapat melindungi pemuda-pemuda kita daripada tergelincir ke dalamnya. Adapun saya mengira bahawa sebab utama berpuncanya daripada musuh zionis dan barat dan sesungguhnya Camp David telah membantu membawa penyakit ini. Zionism telah membawa kerosakan ini kepada negara kita. Mereka telah membantu kemasukan dadah dan kaset-kaset yang mengandungi penyelewengan serta lucah. Kita juga tidak lupa bahawa Yahudilah bertanggungjawab disebalik atisme yang lahir di dalam sosialisme dan merekalah yang memerangi selain daripada Yahudi terutamanya Islam. Dan merekalah manusia yang paling kuat permusuhannya terhadap orang-orang mukmin.
Di antara sebab-sebab yang membantu kewujudan fenomena ini kerana tiadanya perasaan kewatanan di kalangan para pemuda dan keadaan kelemahan politik, kemewahan yang tidak syari dan kekosongan masa serta ketiadaan matlamat yang boleh menyibukkan pemuda-pemuda untuk membina masa depannya dan memperbaiki watannya serta banyak mengembara keluar negara lalu terpengaruh dengan fasad ini. Dan di antara faktor yang lain adalah tindakan kerajaan memerangi semangat keugamaan dan gambaran mereka terhadap setiap Muslim adalah seperti Rahib (meninggalkan dunia) di samping penyempitan ini, dan begitu juga pemenjaraan dan mahkamah tentera dsbnya. Juga kosongnya silibus-silibus pelajaran daripada bekalan spritual dan pendidikan agama serta penambahan media-media yang merosakkan yang membantu menyesatkan dan membentangkan budaya-budaya asing untuk menjadi contoh kepada pemuda dan pemudi. Begitu juga galakan beberapa buku puak sekular dan kiri terhadap memerangi agama dan tujuan mereka untuk mengasingkan agama dari negara. Semua ini menggalakkan kepada penyelewengan. Di samping toleransi dalam memerangi dadah dan kekejian dan meninggalkan masyarakat menjadi mangsa pada media-media kerosakan dan undang-undang juga tidak menjanjikan balasan yang boleh menghalang perkara tersebut.
Beberapa Tanggungjawab Keluarga dan Kerajaan
Di sana terdapat satu tanggungjawab yang besar ke atas institusi keluarga dan pentarbiahan terhadap anak-anak. Setiap penjaga (ibubapa) adalah bertanggungjawab terhadap penjagaannya serta wajiblah ke atas ayah dan ibu untuk mengambil berat terhadap didikan anak-anak, bukan untuk membantu mereka melakukan kerosakan dengan memberi mereka harta benda, kereta, dan kurangnya pengawalan terhadap tindak tanduk mereka. Para bapa hendaklah mengetahui bahawa Allah akan mempersoalkan mereka tentang penjagaan.
Wajiblah ke atas kerajaan untuk mendidik bangsanya melalui tauladan dan amalan yang serius serta produktif, di samping mengembeling tenaga pemuda ke arah pengeluaran yang produktif dan mendidik mereka berjihad dan menjaga tanah air daripada sebarang pencerobohan. Kami berharap daripada pemuda-pemuda untuk mengambil iktibar daripada fenomena ini. Maka janganlah mereka mengabaikan urusan agamanya dan hendaklah mencari benteng pertahanan dariapada tergelincir kedalam jurang yang bahaya ini. Hendaklah mereka mempersenjatakan diri dengan senjata iman dan taqwa serta mengambil berat terhadap masa depan yang hakiki agar mereka berjaya di hari akhirat dengan syurga dan nikmatnya serta selamat daripada neraka dan apinya. Sesungguhnya kami melihat bahawa fenomena penyembahan syaitan adalah satu fenomena sosial dan pendidikan pada peringkat yang pertama sebelum dia menjadi satu jenayah. Oleh itu mestilah setiap ahli masyarakat dan pendidikan untuk mengkajinya dan meletakkan jalan penyelesaian yang sesuai untuk mengubatinya serta membersihkan masyarakat daripadanya dan kesannya. Media massa terutamnya television hendaklah mengadakan topik-topik perbincangan untuk memperingatkan para pemuda dan ketua-ketua serta tunggak negara kepada faktor faktor yang membawa kepada fenomena tersebut serta cara yang boleh menutup jalan yang membawa para pemuda jatuh ke dalam jurang ini. Metod-metod kekerasan sahaja bukanlah metod yang terbaik untuk penyembuhan tetapi hendaklah khidamt peranan pasukan keamanan serta kehakiman untuk menumpukan perhatian terhadap siapa yang telah sabit jenayahnya dan memberi balasan yang sepatutnya.
http://dakwah.info/?p=30